‘Ghost touch’adalah istilah bagi masalah skrin gajet mudsh alih khususnya telefon pintar dan tablet. Secara literalnya ‘ghost touch’ bermaksud ‘sentuhan hantu’.
Mengapa masalah ini diistilahkan dengan ‘hantu’ secara literalnya? Kerana masalah ini membabitkan skrin gajet mudah alih bergerak tanpa mengikut arahan. Skrin bergerak-gerak sendiri dan menyebabkan kita sukar untuk menggunakan fon atau tablet kita. Bagaikan hantu sedang menyentuh skrin.
Lazimnya masalah ini melibatkan 2 faktor:
1. Perisian (software) yang tidak stabil
2. Penggunaan pengecas yang tidak selamat
Masalah ‘sentuhan hantu’ ini pernah dihadapi oleh beberapa model fon disebabkan oleh perisian yang tidak stabil dan perlu dikemaskini oleh pihak pengeluar fon tersebut.

Misalnya Moto G4 Plus, OnePlus One, dan yang terbaru adalah OnePlus 7 Pro. Masalah ghost touch pernah menyerang ketiga-tiga model ini disebabkan oleh perisian yang tidak stabil dan mempunyai pepijat kecil (minor bugs). Pengguna hanya perlu menunggu kemaskini perisian melalui OTA (over the air) daripada pengeluar untuk menyelesaikan masalah ini.
Penggunaan pengecas yang tidak selamat adalah punca utama masalah ini menghantui pengguna gajet. Pengecas ‘cap ayam’ boleh mengganggu signal digital di dalam panel skrin, dan mengakibatkan ghost touch berlaku.
Ghost touch yang belum kritikal hanya berlaku apabila pengecas tersebut digunakan untuk mengecas peranti kita. Manakala ghost touch yang sudah kritikal akan tetap berlaku walaupun pengecas tidak digunakan pada waktu tersebut. Mengakibatkan skrin bergerak sendiri tanpa arahan. Lebih teruk, dikhuatiri ‘hantu’ ini menghantar mesej yang tidak dikehendaki.
Jadi, apa cara untuk menjauhkan diri daripada masalah ini?
1. Jangan sesekali menggunakan pengecas murah, yang tidak asli, dan tidak tahu keasliannya.
2. Sekiranya anda perasan ghost touch berlaku semasa anda menggunakan pengecas itu, segeralah untuk tidak lagi menggunakan barang tersebut.
3. Gunakan pengecas tulen sama ada pengecas dinding mahupun pengecas dalam kereta.
Pelaburan membeli peralatan yang tulen adalah satu pelaburan yang amat berbaloi. Manakala membeli barangan tidak tulen, murah, dan tidak mempunyai sijil keselamatan adalah satu ‘peleburan’. Kononnya ingin berjimat untuk membeli pengecas murah, namun akhirnya kecundang jua akibat terpaksa menukar alat ganti yang jauh lebih mahal!